Ummu..
Harini 1 Mei. Hari lahir Ummu. Khaulah minta izin nak tuliskan surat untuk Ummu di hari lahir Ummu yang sangat berkat ini.. Ummu mungkin tak ada di sini tapi Khaulah tau, Ummu boleh ‘membacanya’..
Ummu..
Khaulah ingat lagi macamana perasaan bila dapat berita dari Fatim di Australia yang bagitau Ummu masuk hospital. Setiap saat Khaulah berdoa dan berharap agar Allah lakukan keajaiban. Hari-hari yang berjalan tu rasa macam bertahun lamanya. Tak terbayang hidup tanpa Ummu. Tak sanggup nak bayangkan pun.. Tapi Allah lebih menyayangi Ummu. Allah ambil juga akhirnya Ummu dari kami semua. Perkara yang paling menakutkan. Tapi Allah buat juga untuk hamba merasakan bahawa kuasaNya mengatasi segalanya. Dan hamba perlu akur dengan setiap keputusanNya. Selalu Ummu sebutkan, kita kena setuju dengan Allah..
Bukan tak pernah Khaulah berharap Ummu akan muncul depan mata. Datang semula dan semuanya kembali seperti biasa. Tapi itu tak berlaku. Kerana rupanya Allah yang maha baik ada perancangan yang jauh lebih baik mengatasi semua yang manusia fikirkan. Semua yang Khaulah fikirkan..
Tahun ni masuk tahun ke 3 Ummu tinggalkan kami semua. Namun yang ajaibnya, Allah buatkan Ummu bagaikan tidak pernah tiada. Sebab rupanya Ummu sangat hidup di dalam hati mereka yang mencintai Ummu dengan sebenar-benar cinta. Ummu tinggalkan sesuatu yang sangat mahal, yang takkan dapat Khaulah dan kami semua bayar dengan apapun. Ummu tinggalkan para Pemimpin Hati yang mereka itu kini sedang sangat meneruskan semua yang Abuya dan Ummu mulakan. Segala hasrat dan harapan Abuya Ummu sekian lama kian terlaksana.
Yang paling besar untuk Khaulah dan adik beradik ialah Ummu tinggalkan kami Tuan Nasir dan Cik Zura sebagai Abuya dan Ummu untuk kami semua.
Ummu..
Khaulah sebenarnya tak pernah sempat pun untuk benar-benar kenal lahir dan batin Ummu. Khaulah tak faham pun apa yang Ummu hasratkan. Mengakibatkan banyaknya salah dan silap yang Khaulah buat ketika Allah izinkan Khaulah bersama Ummu. Khaulah tak pandai pun nak besarkan Ummu seperti yang sepatutnya. Sebagai ibu kandung, lebih-lebih lagi sebagai ibu kepada seluruh jemaah ini. Bahkan Khaulah banyak sangat menyakiti Ummu dengan sikap dan perangai-perangai buruk Khaulah. Tapi Allah takdirkan, Tuan Nasir dan Cik Zura lah yang ajar Khaulah dan adik-adik tentang semua perkara yang kami tak pernah sungguh-sungguh dapat belajar dari Abuya dan Ummu. Patutlah di akhir-akhir sebelum Ummu pergi, Ummu sebutkan, hanya Nasir yang boleh jaga anak-anak Abuya.
Tapi yang sedihnya Ummu, mula-mula Khaulah langsung tak faham apa yang berlaku! Bila Tuan Nasir dan Cik Zura ambil tanggungjawab nak jaga kami semua macam yang Abuya dan Ummu jaga, dan nak betulkan balik banyaknya perkara yang tak betul pada diri Khaulah ni, Khaulah sangat tak boleh terima. Selama ni Khaulah sombong. Bila orang membesarkan Abuya dan Ummu, Khaulah juga ikut merasa besar. Sedangkan sebenarnya hanya menumpang kebesaran Abuya dan Ummu. Jadi, Tuan Nasir dan Cik Zura kerana fahamnya mereka apa yang Abuya dan Ummu mahukan pada setiap anak-anak, sangguplah ambil risiko untuk tegur, marah dan meletakkan kembali Khaulah dan adik-adik atas landasan. Nak betulkan balik fikiran, perasaan dan tindakan! Siapa yang berani nak marah anak-anak Abuya? Tapi Tuan Nasir selalu cerita yang Abuya sebut, Abuya sibuk nak jaga seluruh jemaah, takkan anak-anak Abuya pun orang tak boleh tengok! Sebab tu Tuan Nasir sangguplah dimusuhi sekalipun oleh keluarga Abuya sendiri, asalkan segala hasrat Abuya khususnya terhadap anak-anak dapat dilaksanakannya! Bila ditanya, bila yang Tuan Nasir mula fikir nak jaga anak-anak Abuya ni? Tuan Nasir jawab, dari sebelum anak-anak Abuya ni lahir lagi. Dahsyatnya hatinya..
Sebelum Ummu pergi, Ummu selalu cerita pada kami tentang siapa Tuan Nasir ni. Ummu ceritakan bagaimana kuatnya hati Tuan Nasir dengan Abuya sedangkan Tuan Nasir bukan darah daging Abuya. Walaupun Abuya uji macam-macam tapi Tuan Nasir tak pernah merajuk apatah lagi sampai nak tinggalkan Abuya. Sebab tu Tuan Nasir dan Cik Zura sangat nak betulkan Khaulah ni. Selama ni kalau Ummu marah Khaulah, Khaulah selalu merajuk. Tak boleh terima. Sombonglah tu! Bila dimarah, rasa orang benci. Sekarang lah baru Khaulah faham bahawa merajuk tu dosa besar! Allah marah! Neraka! Tuan Nasir dan Cik Zura lah yang fahamkan. Tuan Nasir tu, makin Abuya marah, makin dia sayang pada Abuya. Itu dah terbukti bilamana Abuya ‘buang’ Tuan Nasir sekeluarga, tapi Tuan Nasir terus membela Abuya. Sesaat, sebesar habuk pun tak pernah merajuk dengan Abuya.
Ummu..
Ummu kan selalu minta Khaulah tolong jaga adik-adik. Tapi Khaulah tak tau pun macamana nak jaga adik-adik macam yang Ummu nak. Tuan Nasir dan Cik Zura lah yang ajarkan Khaulah, untuk jadi sebenar-benar Kakak tu, bukan saja kena melihat kebajikan lahir dan roh adik-adik, tapi Khaulah juga kena sanggup untuk merendah diri dengan adik-adik. Kalau Khaulah salah, Khaulah kena belajar terima teguran sekalipun dari Iyah yang adik tu. Khaulah tak pernah tau pun sebelum ni. Tapi sekarang Khaulah belajar dan berdoa moga Khaulah dapat lakukan begitu. Semuanya jasa Tuan Nasir dan Cik Zura yang Ummu tinggalkan pada Khaulah dan adik-adik..
Tok pernah cakap, mak hang tu macam laki. Dia tak sempat nak ajar hang. La ni Nasir dan Zura lah yang ajaq hangpa! Tok sangatlah tau cucu-cucunya ni. Tok kata, hangpa dulu bodoh! Dah duduk dengan Nasir dan Zura ni barulah cerdik sikit! Tok pun faham.. Tuan Nasir dan Cik Zura tu kerana sayangnya pada Abuya dan Ummu lah, sangat ajarkan kami tentang beradab bahkan kena berhalus. Selama ni nak cakap terima kasih pada orang pun tak pandai. Bila dah buat salah, tak pandai pun nak minta maaf! Bahkan melawan lagi!Satu-satu Tuan Nasir dan Cik Zura ajar kami semula. Sabarnya mereka Ummu.. Moga Allah muliakan mereka di dunia dan akhirat..
Haritu Cik Zura cakap pada Khaulah, kalau ikut hati Cik Zura, anak-anak Abuya ni nyamuk pun Cik Zura tak bagi gigit! Tapi kalau anak-anak Abuya buat salah, Cik Zura lah orang pertama yang akan betulkan! Itulah hati Cik Zura yang sangat faham apa yang dimaksudkan dengan pembelaan terhadap Mursyid..
Ummu..
Terima kasih Ummu.. Sebab Ummu hadiahkan Khaulah dan adik-adik Tuan Nasir dan Cik Zura. Dengan apa kami nak bayar semua ni. Tuan Nasir dan Cik Zura sanggup jaga kami lebih dari anak-anak sendiri. Yang paling besar tu sanggup marah bila kami tersalah. Tuan Nasir dan Cik Zura lah yang sekarang sangat-sangat mengajak kami untuk bela Abuya dan Ummu. Buat apapun, tak pernah lepas dari bibir mereka, semua ni Abuya yang punya! Kami hanya jaga saja..
Ummu..
Kadang-kadang Khaulah terfikir, kenapa Khaulah tak jumpa Tuan Nasir dan Cik Zura dulu untuk Khaulah belajar bagaimana sebenarnya nak bersikap dan memperlakukan Abuya dan Ummu sepertimana Tuan Nasir dan Cik Zura yang sangat-sangat membesarkan Abuya dan Ummu dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesarnya. Khaulah tak pernah tahu pun nak muliakan Abuya dan Ummu sebelum ni. Sekarang ni lah baru Khaulah dan adik-adik belajar dari Tuan Nasir dan Cik Zura bagaimana nak beri harga pada Abuya dan Ummu. Kalau kami betul-betul sayangkan Abuya dan Ummu, kami kena sungguh-sungguh mempersiapkan diri untuk meneruskan perjuangan Abuya dan Ummu ni. Tak boleh main-main lagi. Apatah lagi nak goyang kaki! Anak-anak Abuya kena jadi orang yang paling sanggup susah sebab Abuya mulakan perjuangan ni dengan seribu satu kesusahan. Bukan dengan senang lenang! Tak apalah kehilangan apapun, yang penting kebenaran dapat dipertahankan!
Selalu Tuan Nasir dan Cik Zura ajak kami hayati bait-bait lirik lagu ‘Mubarokah Fathiyyah’ yang Abuya tulis untuk kami rasakan bagaimana hasrat Abuya yang terlalu tinggi agar kami anak-anak dapat menjadi penerus kepada perjuangan ini.
Tuan Nasir dan Cik Zura lah yang ajarkan kami untuk bagaimana menghayati kesusahan Abuya. Khaulah dan adik-adik lahir-lahir saja dah senang, jemaah dah besar, tak pernah rasa susah macam Abuya dan Ummu dulu. Tapi Tuan Nasir dan Cik Zura ialah orang yang sangat-sangat terbukti sanggup bersama dengan Abuya dalam keadaan susah dan senang.
Ummu..
Allah buatkan Khaulah dan adik-adik kena belajar semua ni dari Tuan Nasir dan Cik Zura untuk kami buktikan bahawa kami ada di sini kerana kami cukup yakin dan cintakan kebenaran ini. Bukan lagi macam sebelum ni.. Hanya melihat Abuya, Ummu dan perjuangan tu kaitannya ialah darah daging! Tapi semua ini kena diambil hingga mendarah daging! Macam Tuan Nasir, Cik Zura dan seluruh pemimpin hati! Abuya pun sebut, iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Kalau betul Khaulah dan adik-adik sayang kan Abuya dan Ummu, kami kena juga lalui seperti orang lain yang telah bersusah payah untuk mendapatkan kebenaran ini! Bukan hanya berbangga dengan Abuya sebagai ayah, tapi kena buktikan sanggup meneruskan perjuangan ini macam yang Abuya kehendaki!
Khaulah yakin, Ummu sedang bahagia di sana. Melihat perjuangan ini sedang berjalan laju oleh para pemimpin hati. Juga melihat anak-anak Abuya dan Ummu ada yang sanggup jaga untuk pastikan semuanya ‘jadi’! Kalau Khaulah dan adik-adik rindu pada Abuya dan Ummu, kami tau yang kami ada Tuan Nasir dan Cik Zura yang mereka itulah Abuya dan Ummu di saat Abuya dan Ummu tiada. Begitu juga seluruh para pemimpin hati. Untuk kami buktikan rindu dan sayang kami pada Abuya dan Ummu dengan sungguh-sungguh membahu perjuangan yang diwariskan ini.
Ummu..
Di atas segala yang telah Ummu berikan ini, moga Allah muliakan dan tinggikan makam Ummu di sana dan tempatkan Ummu bersama para kekasihNya..
Anakmu,
Khaulah Attamimi
Villa GISBH Istanbul, Turki
1 Mei 2018
Comments