Ramadhan bersama Pemimpin Hati

Friday, June 16, 2017
Salam

Pejam celik pejam celik, Ramadhan dah kian menuju ke penghujungnya. Aku pernah dengar orang cakap, tanda-tanda akhir zaman tu ialah bilamana masa dirasakan cepat sangat berlalu. Sebab dulu waktu aku sekolah rendah, nak tunggu cuti hujung tahun tu lama sangat. Jenuh tunggu. Tapi sekarang ni sedar-sedar je dah 2017. Rasanya baru je haritu 2015. Bila cepat masa berlalu, cepatlah juga umur meningkat. Tiba-tiba je dah 31 tahun. Rasa macam semalam baru je 18 tahun! Hmm.. Baru terfikir, apa yang aku dah perbuat dengan umurku di sepanjang 20an nya itu ye? Oh Tuhan..

Aku selama ni sebenarnya tak pernah fikir pun, tak pernah rasa besar pun nikmat berpemimpin. Hanya setelah benar-benar difahamkan oleh para pemimpin, lebih-lebih lagi pemimpin hati yang tugasnya mendidik hati, nak betulkan segala perjalanan hati, barulah nak belajar betapa mahalnya mendapatkan pemimpin dan pimpinan dalam hidup. Nak cari pemimpin yang boleh memimpin itu tak mudah, apatah lagi pemimpin yang boleh pimpin hati. Laaaagilah susah. Sebab tu disebutkan ianya sebagai Pemimpin Hati.

Dapat pemimpin bererti mendapatkan panduan untuk hidup di dua negara iaitu dunia dan akhirat. Setelah dapatkan panduan, kita akan sedar betapa selama ini kita hidup dalam keadaan yang salah. Salah berfikir, salah berperasaan dan salah dalam tindakan. Namun kita berharap moga kita tak pernah terlambat untuk dibimbing bagi membetulkan semuanya.

Kerana bersama kita Pemimpin Hati lah, hati kita dipimpin bahawa antara yang kita perlu dapatkan di sepuluh malam terakhir Ramadhan ini ialah keinsafan. Merasa insaf di atas banyaknya dosa yang telah kita lakukan kepada Tuhan. Rasa berdosa sampai ke dalam hati kerana teruslah membesarkan diri dan nafsu lebih dari Tuhan. Kekal bersembahyang dalam keadaan yang lalai. Ybm Tuan Hasnan selalu ingatkan, yang Allah sebut celakalah orang yang bersembahyang tu, bukan untuk solat fardhu je. Tapi solat sunat pun rupanya nak kena dapat khusyuk. Kalau tak, neraka wail lah juga. Na'uzubillah..

 

Lepastu nak kena direnungkan juga dosa kita  dengan manusia dan yang paling besar tu dengan  pemimpin lah. Yang suruh taat pemimpin ni, Allah. Jadi bila kita gagal untuk taati pemimpin sepertimana yang Allah nak, maka dua kali berdosalah kita. Taat pemimpin tu pula kena dibuat secara menyeluruh. Bukan taat benda yang kita suka je. Aku lah tu... Masih taat yang disukat-sukat. Kalau tak kena dengan keinginan nafsu, belum tentu mampu nak taat. Belum lagi disuluh hal-hal yang berkait dengan perasaan kepada pemimpin. Kadang depan tu kita bolehlah akur, tapi dalam hati macamana? Tolonglah Ramadhan.. moga keberkatanMu dapat merubah kejahatan hatiku..

 

Kita nak sangat jadi mereka di akhir zaman yang sangat dirindui oleh Nabi dan dicemburui oleh sahabat kerana walaupun tak pernah berjumpa Nabi tapi sangat merindui dan memperjuangkan semua yang datang dari Nabi. Itu juga satu bentuk tawaran. Semua orang boleh jadi calon untuk mendapatkannya. Namun di akhirnya, Tuhan lah yang tahu bagaimana nasib kita. Ybm PE sebut, sungguh-sungguhlah rebut peluang sampai turunnya belas kasihan Allah pada kita. Mudah-mudahan kita semua direzkikan Ramadhan yang dihujungnya adalah keselamatan..

 

Di kesempatan ini juga aku nak mohon jutaan kemaafan kepada semua yang mengenali di atas banyaknya dosa dan salah silap yang aku lakukan samada sengaja ataupun tidak. Terkasar bahasa di alam nyata mahupun terguris apa-apa yang dicoret di sini. Maafkan ye..

Aku nak kongsikan salah satu lirik lagu dari album Takuti Tuhan Rindui Nabi oleh Akademi Generasi Harapan (Jawa) yang ditulis oleh Ybm Tuan Nik Hazani. Selamat mendengar dan menghayati..

Rasa Ramadhan

Berdebar-debar hati ini
Menunggu kedatanganMu 
Keluh kesah gelisah tak menentu
Takut kedatanganMu ku gagal lagi

Wahai Ramadhan Engkau yang ku tunggu
KedatanganMu membawa rahmat
Juga keampunan Tuhanku berkat dan kasih sayang
Mana mungkin kedatanganMu ku siakan

Ramadhan kini kembali
Ramadhan menangislah hati

Ya Allah jadikan ku hambaMu yang beradab denganNya
Janganlah ku menjadi hamba yang rugi lagi 
Entah ke berapa kali

Aku sangat mengharapkan pertolongan dariMu
Anugerahkanku Ramadhan yang di hujungnya keselamatan
Dari azab api neraka 
Kasihanilah aku Tuhan
Kerna setiap kali Ramadhan 
Yang ku dapat hanya lapar dan dahaga

Sayu.Pilu.Rindu Ramadhan

Saturday, June 10, 2017

Salam


14 Ramadhan. Dah lama tak naik keretapi jalur Alor Setar - KL Sentral. Dan Allah rezekikan aku untuk menaikinya setelah kali terakhir berbuat demikian di saat harganya masih sekitar belasan ringgit dan kini harganya dah sama dengan tiket kapal terbang. Lamanya.. 


Merenung ke luar jendela, melihat pemandangan yang jarang dapat dinikmati. Pemandangan dari tingkap sebuah keretapi. Namun yang lebih besar dari itu, aku baru tersedar bahawa telah lebih 2 minggu Ramadhan berlalu meninggalkanku namun aku belum mengisinya dengan apa- apa. Hatiku masihlah seperti dulu. Ibadahku tanpa rasa. Puasaku biasa-biasa saja. Terawikh tidak pun menambah rasa hamba. 


Oh Tuhan.. Di Ramadhan ini, oleh para pemimpin hati aku belajar lagi tentang keagungan bulanMu ini. Kau tawarkan pelbagai hadiah untuk si hamba dengan syarat mereka itu bertaqwa. Hadiah istimewa itu pula bukan calang-calang nilainya. Hadiah terbesar ialah mendapatkan keampunan Tuhan. Siapalah yang tidak mahu diampunkan? Dengan dosa yang ditambah setiap hari, nafsu teruslah menguasai, gagal lagi.. 


Maka tawaran istimewa dari Allah untuk menganugerahkan sebesar-besar keampunan di bulan karamah ini itu sangatlah ditunggu. Namun.. layakkah aku mendapatkannya? Sedang Tuhan janjikan itu hanya untuk mereka yang bertaqwa. Aku bagaimana?


Salam Ramadhan buat semua pembaca. Dah lama sangat rasanya tak jumpa. Puasa ke semua? Moga kita dapatkan puasa hati. Puasa yang akan benar-benar merubah hati. Menambah keinsafan, kesabaran, tolak ansur, merendah diri dan bermacam rasa lagi yang diminta oleh Allah untuk kita dapatkannya dengan mengambil peluang di Ramadhan yang Allah janjikan seribu rahmat, berkat dan keampunan ini.


Benarlah keberkatan itu mampu merubah dunia. Sesuatu yang dianggap mustahil pun boleh saja berlaku. Maka dengan keberkatan bulan agung ini, juga keberkatan para Pemimpin Hati, telah lahir bukan satu tapi 2 album hasil gabungan Generasi Harapan dan Akademi Generasi Harapan. 


 

  1. Album Takuti Tuhan Rindui Nabi oleh Akademi Generasi Harapan (Jawa) yang diterbitkan sepenuhnya oleh Ybm Tuan Rasidi Abdullah dan Ibu Dr Gina Puspita. Mengandungi 8 buah lagu yang semuanya juga adalah ciptaan Ym Tuan Rasidi dan Ibu Dr Gina Puspita. Pembikinan album ini dibuat di Sentul, Indonesia.
   2. Album Ramadhan dan Syawal bulan ketaqwaan oleh Generasi Harapan juga bekerjasama dengan para pelapis dari Akademi Generasi Harapan. Ada 12 buah lagu semuanya di dalam album ini yang membawa mesej yang cukup mendidik jiwa insyAllah.


Jangan lupa untuk dapatkan 2 album ini ye.. Moga-moga boleh jadi panduan untuk kita mengisi Ramadhan yang masih berbaki beberapa hari lagi ini.. 


Selamat berpuasa diucapkan kepda semuanya bersama doa dan harapan agar kita mendapatkan hadiah-hadiah istimewa dari Allah kerana telah menghadiahkan sesuatu yang mahal juga kepada Allah..