Assalamualaikum wrt wbt
Bismillahirrahmanirrahim..
Surat terbuka untuk kakak ku Ummu Atiyyah bt Asaari. Moga-moga Kak Atiah dalam keadaan sihat lahir dan batin dan juga sedang sangat sedar apa yang telah dilakukan ini, serta faham kesan dan akibatnya kepada diri sendiri terutamanya dan juga seluruh keluarga.
Saya tuliskan surat terbuka ini adalah untuk menjawab segala apa yang telah Kak Atiah perkatakan samada melalui video di facebook juga melalui tulisan (Syed Azmi) yang telah tersebar, sekaligus untuk mengingatkan Kak Atiah terhadap apa-apa yang mungkin Kak Atiah terlupa. Tak salah rasanya untuk kita adik beradik saling ingat mengingatkan pada kebenaran dan kesabaran..
1- Kak Atiah diberi amanah untuk menjaga syarikat di Jerash, Jordan. Sementara kami adik beradik yang lain juga diberi tanggungjawab di cawangan GISBH yang lain. Di Jerash, Kak Atiah bukan saja diamanahkan untuk menguruskan perniagaan restoran, tapi turut diberi kepercayaan menjaga lebih 50 orang pelajar yang ditaja oleh GISBH untuk belajar di sana. Pada tahun 2010, ketika awal pembukaan projek di Jerash, Ummu dan kami semua ikut berada di sana. Selepas beberapa bulan di sana dan dipastikan perjalanan syarikat serta remaja-remaja di situ berada dalam keadaan yang baik, Ummu pun berangkat ke Mekah dan kami selepas itu dihantar bertugas ke tempat lain. Tinggallah Kak Atiah di Jerash untuk menyambung tugas bersama doa dan harapan Ummu yang sangat besar pada Kak Atiah agar Jerash dapat dijaga sebaiknya mengikut panduan yang telah diberikan.
2- Setelah beberapa tahun meninggalkan Jordan, pada hujung tahun 2014, Ummu telah membawa saya, Fatim, Humam juga diiringi oleh En Suhaimi dan Abang Fauzi untuk ziarah ke Jordan bagi meninjau perjalanan syarikat di sana. Ketika itulah sebenarnya terdapat kepincangan yang Ummu lihat telah berlaku di Jordan. Banyak penyusunan yang dibuat oleh Kak Atiah tidak tepat/sesuai dengan apa yang Ummu mahukan. Di waktu itu, bila Ummu cuba untuk membetulkan apa-apa yang tersilap, Kak Atiah dengan beraninya telah melawan Ummu. Bahkan di depan kami semua! Sedangkan syarikat biasa pun akan melakukan baik pulih bila dilihat ada masalah yang berlaku. Inikan pula syarikat besar seperti GISBH. Di luar negara pula tu! Lebih-lebih lagi bila melibatkan displin dan sikap para remaja di bawah jagaan Kak Atiah. Tapi Kak Atiah tetaplah dengan sikap yang susah diajak berbincang. Kalau sebelum ini hanya bersikap begitu terhadap adik beradik, tapi waktu itu dengan Ummu pun Kak Atiah sangat-sangat tidak beradab! Kami adik beradik menahan hati melihat sikap Kak Atiah terhadap Ummu! Ummu cuba memahamkan Kak Atiah apa yang patut dibuat tapi Kak Atiah merasakan lebih tahu dari Ummu. Bahkan yang lebih menyedihkan lagi ialah sebaik saja Ummu pulang ke Malaysia, Kak Atiah terus merombak semula apa yang telah Ummu susun. Beraninya Kak Atiah!
3- Antara perkara yang berlaku di Jerash ketika di bawah jagaan Kak Atiah ialah bilamana Kak Atiah mengajar dan mengajak remaja di sana untuk mencuri. Bukan saja di pasar, tetapi juga di mall hinggakan pernah ditangkap oleh pengawal keselamatan. Orang bukan islam pun tahu bahawa mencuri adalah satu dosa dan kesalahan. Lebih-lebih lagi sepatutnya yang belajar di Jordan dan beraliran agama! Tapi Kak Atiah boleh saja mempermainkan perkara ini! Bila ada orang yang datang cuba menasihati, Kak Atiah tak pernah boleh menerima teguran dari sesiapa! Sedangkan semua remaja yang terlibat itu sanggup saja ditegur dan dibetulkan selepas mengakui kesalahan mereka. Tapi Kak Atiah pula bersikap sebaliknya! Inilah sikap Kak Atiah yang mengakibatkan banyak kesilapan di Jerash yang sukar dibetulkan!
4- Berlaku juga perlanggaran syariat yang berleluasa di Jerash. Sedangkan para remaja itu dihantar ke sana untuk mereka nantinya balik ke Malaysia dapat menjadi contoh kepada remaja yang lain. Tapi sebaliknya berlaku kerosakan akhlak yang cukup besar pada mereka. Sudah tentulah ini menjadi satu kebimbangan kepada pihak GISBH yang sangat dikenali cukup tinggi akhlak dan displin syariatnya! Sebab itulah dibuat tindakan segera untuk dapat menyelamatkan keadaan.
5- Dari pengakuan pelajar-pelajar yang pernah duduk dengan Kak Atiah, mereka mengatakan bahawa Kak Atiah sangat ambil ringan terhadap sembahyang! Pernah Kak Atiah mengarahkan mereka untuk tinggalkan solat subuh dan hanya qadha’ saja dengan alasan yang sangat tak masuk akal! Itulah bukti bahawa Kak Atiah orang yang sangat meringan-ringankan hukum Allah!
6- Cuba tanya pelajar-pelajar yang pernah duduk dengan Kak Atiah bagaimana hukuman yang Kak Atiah buat pada mereka! Pernah Kak Atiah halau pelajar perempuan hingga mereka merempat di masjid. Kak Atiah lupa ke macamana Kak Atiah rotan kepala anak saudara perempuan kita bila dapat tahu dia berkawan dengan lelaki yang bukan muhrim. Marahnya Kak Atiah padanya hingga dihina-hinalah dia dalam majlis. Tapi mereka semua sangat boleh menerima apa yang Kak Atiah lakukan kerana merasakan itulah didikan buat mereka. Tapi bila Kak Atiah sendiri melakukan kesalahan yang sama bahkan lebih dahsyat lagi, Kak Atiah menolak dengan sekeras-kerasnya bila ditegur!
7- Bila melihat keadaan Kak Atiah tidak lagi boleh dikawal, maka Ummu ambil keputusan untuk mengahwinkan Kak Atiah yang pada waktu itu berstatus janda (diceraikan kali kedua oleh Dr Mahmud) dengan seorang yang kita sama-sama kenali dirinya dan keluarganya yang sangat baik terhadap kita sebagai isteri keempat. Bahkan bila Tok tahu tentang perkahwinan ini, Tok pun sangat gembira dan bersyukur kerana sangat kenal dengan Tuan Fadhil (Abang Long) yang disifatkan oleh Tok sebagai orang paling baik. Perkahwinan itu diatur bukan sekadar nak beri suami pada Kak Atiah, tapi yang jauh lebih besar dari itu ialah nak beri seorang yang boleh pimpin, didik dan mengawal Kak Atiah sebab Ummu cukup kenal watak anak sulungnya ini. Abang Long juga ialah sosok yang sangat diakui mampu menjadi ayah kepada Zainab yang sejak dari kecil lagi tak pernah mendapatkan kasih sayang seorang ayah kerana telah ditinggalkan oleh ayah kandungnya, Dr Mahmud. Semua orang yang mengenali Kak Atiah tahu, bukan sebarang orang boleh hadapi Kak Atiah. Buktinya, Dr Mahmud yang dikatakan ulama’ pun sampai dua kali menceraikan Kak Atiah!
8- Tapi Kak Atiah kerana waktu itu tidak lagi dapat berfikir dengan baik kerana dibutakan oleh cinta kepada seorang remaja yang jauh lebih muda, telah lari dari rumah di Jerash dan tinggal bersama seorang kawan arab sebelum sempat diuruskan hal legal perkahwinan bersama Abang Long. Tindakan yang sangat tak matang itu telah menyusahkan semua yang ada di Jerash pada waktu itu. Bahkan remaja-remaja yang Kak Atiah didik selama ini pun terkejut dengan tindakan Kak Atiah yang bertindak jauh menyimpang dari apa yang Kak Atiah ajarkan kepada mereka. Waktu tu Kak Atiah tak teringat pula pada Zainab! Tak pula berfikir panjang sebelum bertindak! Hanya fikirkan diri. Mujurlah ada orang yang sudi menjaga Zainab dengan baik di Malaysia waktu Kak Atiah sedang dalam keadaan yang sangat tidak stabil!
9- Masih terngiang-ngiang lagi di telinga saya suara Ummu yang menelefon dari Australia dan di waktu itu saya di Manchester. Ummu minta saya hubungi Kak Atiah dan pujuk agar Kak Atiah mahu balik semula ke rumah kita di Jerash untuk kita berbincang sebaiknya. Sayunya suara Ummu yang mengatakan, kamu tolong pujuk ye.. Airmata Ummu dah kering. Namun usaha saya untuk memujuk Kak Atiah pun gagal kerana Kak Atiah dah tutup pintu hati untuk sebarang perbincangan!
10- Kak Atiah kemudiannya balik ke Jerash tapi dalam keadaan yang sangat sukar dikawal. Mengamuk, habis pecah semua barang. Jenuhlah kami semua mengepung! Kami sangka Kak Atiah disihir atau hilang akal! Tapi sebenarnya memang itu pun watak Kak Atiah dari kecil. Akan mudah mengamuk dan hilang pertimbangan kalau ada kemahuan yang tak dituruti!
11- Setelah itu Ummu pun pergi meninggalkan kita dan kita semua kembali ke Malaysia. Di waktu itu kita sama-sama berbincang apa yang sepatutnya kita buat. Keadaan Kak Atiah waktu tu bagaikan insaf bila melihat pemergian Ummu dalam keadaan sedang sangat sedihkan Kak Atiah. Beberapa kali Kak Atiah tanya pada saya sambil menangis, apa yang patut Kak Atiah buat? Saya hanya mampu katakan, kita doakan Ummu dan buatlah perubahan diri. Tunaikan hasrat Ummu! Bila melihatkan keadaan Kak Atiah, kita sepakat untuk bawa Kak Atiah ke Turki kerana di sana ada Tuan Nasir dan Cik Zura yang merupakan orang paling rapat dengan kita setelah Abuya dan Ummu. Mereka dah lama bersama Abuya dan Ummu bahkan sejak sebelum kita lahir lagi. Jadi bila Ummu dah tak ada, merekalah yang nak ambil tanggungjawab untuk bantu kita semua yang masih terlalu perlukan panduan dan pimpinan lebih-lebih lagi kita sangat diharapkan dapat menjadi penerus kepada perjuangan syarikat ini.
12- Bila sampai di Turki, kami harapkan Kak Atiah akan terus insaf mengakui semua kesalahan dan buat perubahan. Tapi rupanya itu tak berlaku! Ketika di Turki, Kak Atiah sampai sanggup tinggalkan sembahyang kerana nak protes pada Allah yang menurut Kak Atiah tak adil kerana menguji Kak Atiah begini. Beberapa kali Kak Atiah kata, mana Allah? Apa lagi Allah nak ambil daripada aku? Jenuh kami adik beradik nak ajak Kak Atiah solat! Beberapa kali juga kami ingatkan agar Kak Atiah jaga mulut. Jangan sebut hal-hal yang boleh melanggar akidah. Lihat sajalah bagaimana semudahnya Kak Atiah sebut sanggup untuk murtad dan mati kafir hanya kerana ditimpa sedikit ujian. Sedangkan sepatutnya sebagai orang islam, makin diuji, makin kuatlah hatinya dengan Allah! Bukankah Allah yang mendatangkan ujian? Malu rasanya mendengar Kak Atiah sebut tentang islam sedangkan diri Kak Atiah yang saya dan kami kenali tidak pun melambangkan seorang yang faham tentang islam!
13- Dalam keadaan begitu, macamana Kak Atiah boleh harap nak jaga Zainab? Sedangkan Kak Atiah pun kami yang kena mandikan! Kak Atiah sanggup membiarkan diri dalam keadaan yang busuk dan tak terurus hanya kerana nak protes bila kemahuan Kak Atiah tidak dituruti. Kalau solat pun Kak Atiah sanggup tinggalkan, yang lain-lain tu rasanya dah jadi kecil! Kami kesiankan Zainab yang terpaksa melihat mak nya begitu! Sudahlah terpaksa kehilangan ayah sejak dari kecil! Di waktu yang cukup sukar itu, Zainab sangat mendapatkan pembelaan dan perlindungan dari Abang Long yang dipanggilnya Abi! Kami melihat sendiri bagaimana sayang dan akrabnya dia dengan Abang Long. Bahkan ketika Zainab dibawa ke Turki atas permintaan Kak Atiah sendiri, Zainab sebenarnya sangat mengelak untuk duduk dengan Kak Atiah kerana terkejut melihat keadaan mak nya. Kak Atiah dah lupa ke macamana Zainab menangis dan merayu pada Kak Atiah, Mama.. Mama.. dahlah tu.. Zainab malu tengok Mama macamni, waktu dia lihat Kak Atiah mengamuk-ngamuk! Kami yang menangis! Sedangkan hati Kak Atiah waktu tu keras macam batu sikit pun tak kesian tengok keadaan Zainab begitu! Jadi bila sekarang baru Kak Atiah nak sebut rindukan Zainab, sayangkan Zainab, pelik rasanya..
14- Semua masalah yang timbul pada hari ini sebenarnya jelas berpunca dari diri Kak Atiah sendiri! Semua ini takkan berlarutan sampai begini sekali jika dari awal lagi Kak Atiah bersikap terbuka menerima teguran dan sanggup untuk dibetulkan memandangkan kesalahan yang Kak Atiah lakukan bukannya kecil! Tapi inilah watak Kak Atiah.. Susahnya menerima pandangan orang. Apa lagi nak terima teguran. Kak Atiah boleh marah dan mengamuk berhari-hari lamanya hanya kerana ada pelajar yang lupa kutip rambut di lantai bilik air! Tapi bila Kak Atiah yang buat salah besar dan cukup jelas di depan mata, Kak Atiah tak akan sanggup untuk dimarah dan dibetulkan!
15- Buktinya, dalam cerita-cerita Kak Atiah samada berbentuk laporan polis, atau tulisan yang viral di fb, mahupun melalui video yang disebarkan, sikit pun Kak Atiah tak sebutkan tentang kesalahan-kesalahan yang Kak Atiah dah lakukan! Sudah pastilah orang pun kehairanan. Takkanlah cerita sebesar ini boleh berlaku secara tiba-tiba. Takkan hanya kerana Kak Atiah dipaksa kahwin! Kenapa Kak Atiah tak ceritakan apa sebenarnya yang berlaku sehingga Kak Atiah dikahwinkan? Semua orang berbuat salah. Tapi orang sanggup dibetulkan! Kesalahan Kak Atiah yang paling besar ialah bilamana bersalah, tapi tak rasa bersalah, bahkan melihat orang lain lebih bersalah di atas kesalahan Kak Atiah! Kalau Kak Atiah kekalkan sikap begini, percayalah! Tak ada orang yang akan sanggup bertahan lama duduk dengan Kak Atiah!
16- Yang paling menyedihkan ialah bilamana Kak Atiah memaki hamun Abang Long tapi bila Abang Long bagi duit boleh pula terima. Bila Abang Long kirim hadiah elok je ambil. Bahkan boleh pula ajak Abang Long (yang kononnya menurut Kak Atiah tak ada apa-apa hubungan) pergi beli macam-macam keperluan Kak Atiah dan Zainab! Kalau memang Abang Long ni orang jahat, kenapa Kak Atiah boleh harapkan dia bela dan tanggung Kak Atiah sebagai seorang isteri? Kak Atiah dah lupa ke? Kak Atiah canang cerita fitnah yang langsung tak masuk akal! Kalau orang tahu semua kebenaran di sebalik cerita yang Kak Atiah sebarkan, rasanya orang pun akan tinggalkan Kak Atiah!
Kalau saya nak terus menulis, panjang lagi rasanya. Tempoh 3 tahun melalui semua ini bukan satu tempoh yang sekejap. Terlalu banyak yang saya sendiri pelajari dari kejadian ini. Insafkan diri melihat bagaimana Allah yang maha segalanya itu boleh saja membolak balikkan hati kita. Hanya semalam kita boleh taat dan patuh dengan semua yang Allah takdirkan, tapi hari ini kita tiba-tiba menjadi orang yang sanggup mempersoalkan Tuhan hingga tergamak untuk menyebutkan sanggup murtad dan mati kafir! Na’uzubillah
Saya mohon adik-adik saya yang lain juga ikut menuliskan surat terbuka untuk Kak Atiah, kakak sulung yang sangat kami kasihi. Tiap hari kami doakan agar Kak Atiah dibukakan hati untuk kembali melihat kebenaran oleh Allah dan Rasul yang sekian lama Abuya dan Ummu perjuangkan. Bukan lagi mengikuti nafsu dan syaitan yang sangat mengajak kepada kejahatan dan kesesatan.
Marilah kita sama-sama setuju dengan Allah yang menguji kita begini kerana kita hanya hamba. Sebesar mana pun kita, takkan dapat lari dari kekusaanNya. Moga kita masih diberi peluang oleh Allah untuk bertaubat dan kembali tunduk kepadaNya..
Comments