Sejak balik dari Saudi dulu,jarang-jarang dapat balik Kampung. Jarang juga dapat menjenguk Tok. Sesekali singgah kalau ada show ditempat berhampiran,itupun kelam kabut dah nak kena balik semula. Sedih juga kadang tu bila tak sampai 24jam jumpa Tok dah nak kena balik. Walaupun Tok tu bukanlah jenis nak suruh tidur bawah ketiak dia. Dah cucu semua gabak mana muat ketiak Tok dah! Tok kata dapat tengok sat pun takpa dah. Lepastu hangpa pi lah berjuang,tolong Ummu hang nak buat islam. Tok doa tak berenti. Dan doa Toklah yang menjadi keberkatan buat kami.
Bila Abg Atan kata Hj Saad Langkawi nak ajak show kat kenduri kawin anak dia,maka peluang nak ziarah Tok pun cerahlah. Berangkutlah kami 1 van 1 kereta menuju ke Utara. Terima kasih Tuhan. Haritu konon dapat cuti ke Melaka kejap,itupun dah jakun! Tuhan bagi pula peluang balik kampung sendiri..
Korang la ni pergi rumah Tok bukan main seronok lagi eh! Mana taknya,rumah Tok dah jadi macam resort bak hang! Hosba Valley Resort pun dah gulung tikar,kira rumah Tok lah pengganti. Kalau dulu,kami balik kampung pakat mandi kat perigi. Risau sangat takut ada yang terjatuh. Yang kena himpap buah kelapa atas hidung dah ada. Pulak tu kalau nak terbuang air tengah malamlah yang paling mujahadah. Tandas kat luar. Aduiii.. Jenuh kejut merata ajak teman. Seram nih!
Kalau malas nak mandi kat perigi,adalah satu batang paip depan rumah Tok tu. Waktu kecik-kecik memang sakan main kemban-kemban tang tu. Bila dah besar sikit,rumah Tok dah mula ada bilik air beserta kolah besar yang akan kami terjun seolah berada di swimming pool Jerash. Tapi port paling layan ialah berkubang di kokyu (parit besar) tepi rumah Tok. Waktu tu air sampai dada. Silap haribulan boleh lemas. Sekarang ni kalau aku masuk,maka akan keringlah air kokyu itu akibat pelimpahan melampau. Tengok saiz kokyu pun dah cukup mendatangkan rasa hamba bila di compare dengan saiz la ni!
Dulu-dulu kami rajinlah berlari-lari dibatas sawah macam dalam filem Laskar Pelangi (tengok kat poster dia je) tu. Feeling-feeling macam kanak-kanak dalam buku cerita yang ada gambar rumah tepi sawah tu. Tengah layan feeling,ternampak pulak ular tengah salin kulit. Lintang pukang lari balik.
Sekarang ni memang tak terlintas langsung nak pijak batas sawah tu. Wallah tak mampu. Risau pacatlah,lintahlah. Tapi yang bestnya sekarang ni tiap hari dapat mancing dekat rumah terapung. Aku yang tak minat bergelimang dengan alam sekitar ni pun dah naik gian bila tengok sekor-sekor ikan sangkut kat mata kail. Hebatnya pemandangan ciptaan Tuhan kat situ. Jemputlah datang ye.
Dalam banyaknya hal yang dah berubah,namun masih banyak juga yang tidak berganjak. Kedai Mak Long tetaplah usang. Mungkin citarasa orang kampung begitu agaknya. Kalau upgrade sangat,orang tak mai pulak. Sambil aku dengan Kak Syidah beli aiskrim yang tak banyak pilihan tu,mata kami melilau sana sini. Rasa akula,dekor kedai ni dari dulu sampai la ni dok macamtu jelah. Kat situlah keropok,tang tulah ayaq gas. Kalau Ummu dapatlah kedai ni,aku agak dah jadi Tesco kot!
Bila aku jalan keliling kampung cari cekor,barulah aku perasan yang rumah Mak Ngah Yam macamtulah dari dulu. Sedangkan rumah Tok dah macam-macam bentuknya. Begitu juga dengan rumah adik beradik yang lain. Orang Kedah ni istilah adik beradik tu bukan takat yang seibu sebapa je. Sepupu,dua pupu,lima pupu,kupu-kupu semua depa panggil adik beradik. Macam-macam.
Iyah tiba-tiba teringin makan pelam. Musim dah habeh,jenuh kami cari rata. Gagahlah naik Kelisa Kak Lin cari pelam kot batas sungai. Takde rezki. Kebun seberang sungai dah semak samun. Kalau arwah Wa (kakak Ummu) ada mesti terang benderang tu. Sekarang ni mana ada orang mau buat gheja tu. Pak Ngah Lah je yang tinggal masih setia kerjakan sawah milik Tok. Kagum aku melihat bagaimana Tuhan ciptakan beras melalui padi. Unik. Ajaib. Demikianlah jika Tuhan yang melakukan.
Jiwa aku ni memang kurang sikit dengan kampung ni. Bukan tak suka,tapi bila melibatkan line hp takde,internet lambat,mulalah.. Tapi balik kalini rasa indah sangat. Dapat mancing,bakar ikan,jalan tepi sawah. Betul-betul mengembalikan banyaknya kenangan yang hampir terlupakan. Patutlah Abuya dulu suka sangat kesini. Tenang. Lagi-lagi bila dengar ahli PKBM selawat subuh-subuh,azan,rasa sayu je. Dulu nak balik kampung tu betul-betul satu perjalanan yang panjang. Awal pagi lagi Kak Fizah dah siapkan bekal macam-macam. Nanti singgah tepi jalan bentang tikar bukak bekal. Bila sampai rumah Tok je,berlompat-lompatanlah kami. Bila Adib dah lahir tu lagilah riuh. Habis dikejarnya angsa-angsa yang wujud kat kampung ni. Marahlah orang kampung. Rupanya bila orang bandar balik kampung,depa lagi jakun dari orang kampung sendiri.
Sekarang Tok tinggal dengan ramainya pelajar-pelajar yang setia menemani. Rumah Tok dah jadi rumah amal. Hidup rumah Tok dengan aktiviti-aktiviti islam. Hati anak cucu dah tak susah lagi bila terpaksa berjauhan dengan Tok. Begitulah bila Tuhan yang menjaga.
Tok tiba-tiba cakap,hidup kena ada ujian. Kalau tak,kita lupa Tuhan. Ahh.. Tok memang tak pernah silap menelah apa yang bergelodak dihatiku. Aku akur. Aku renung garis-garis tua dimuka Tok. Banyaknya pengalaman,ujian,kesabaran yang telah dilaluinya. Tapi dia mampu untuk kekal berpaut pada Tuhan tanpa sedikitpun melepaskannya. Mengapa tidak aku ikuti jejaknya itu? Untuk aku belajar bahawa sabar itu indah. Penghujungnya ialah redha bilamana mampu menyerah segalanya pada Tuhan. Tok cakap lagi,la ni Najib pun diuji (merujuk pada DS Najib). Tuhan bagi banjir besar,pening kepala. Kat tempat dia pulak tu yang teruk kena!
Dahsyat wanita ini. Umurnya menjangkau 100,tapi aku justeru lebih nyanyuk darinya.
" Ummu hang tu umoq 26 baru kawin. Banyak yang mau,tapi dia tolak. Tok kata kat orang kampung,anak aku dah besaq. Dia ceghdik. Dia tau apa yang dia mau. Ummu hang pilih nak kawin dengan Abuya bukan pasai pa,tapi pasai dia kata nak tumpang iman,nak tumpang berjuang ", sunguh-sungguh Tok ulangi lagi cerita yang sudah sering ku dengar darinya itu. Cerita Tok semuanya mutiara. Pesanan Tok tiada yang sia-sia.
Sebelum pisah dengan Tok,Tok peluk erat aku. Aku minta Tok pegang dada dan doakan agar hatiku segera dirubah kepada hati yang lebih baik. Berkali-kali Tok pesan dekat dengan telingaku,berjuang sungguh-sungguh! Buat islam! Tok doa. Lagi. Doanya tak pernah berhenti.
Comments
Tiada yg setandingnya di zaman skrg ni
Moga2 Allah melimpah rahmatnya yg banyak pada tok dn kita semua..Aminn..